PUTRAJAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menempelak kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Halimah Ali yang mendakwa penurunan harga RON95 tidak memberi kesan besar kepada rakyat, sambil menyifatkannya sebagai tidak berasas dan jauh tersasar daripada realiti kehidupan rakyat.
Ketua Penerangan Wanita PKR, Datuk Ginie Lim berkata, penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) membolehkan rakyat berjimat sehingga RM183 sebulan berbanding harga tanpa subsidi RM2.60 seliter.
“Penjimatan ini sangat bermakna untuk mereka yang perlu berulang-alik bekerja, menziarahi keluarga dan menanggung anak-anak yang belajar jauh dari rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sikap memperlekeh penjimatan tersebut menunjukkan pimpinan Pas gagal memahami beban sebenar rakyat termasuk dalam kalangan ahli parti mereka sendiri yang turut menikmati manfaat sama.
“Apabila pimpinan Pas memperlekeh penjimatan RM183, ia jelas menunjukkan mereka tidak memahami beban rakyat.
“Hakikatnya, ahli Pas sendiri di seluruh negara turut menikmati manfaat yang sama,” ujarnya.
Tambah Ginie, langkah Kerajaan MADANI menurunkan harga petrol melalui subsidi penuh RON95 kepada 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif, membuktikan komitmen kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengabaikan disiplin fiskal negara.
“Langkah ini bukan sahaja membantu rakyat, malah memperkukuh kedudukan fiskal negara dengan penjimatan kira-kira RM8 bilion setahun,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelaksanaan dasar tersebut.








