PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dijangka memperkenalkan pasport Malaysia dan MyKad dengan reka bentuk serta ciri keselamatan baharu dalam tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan itu diunjurkan bermula dalam tempoh kira-kira enam bulan akan datang dan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa memperbaharui dokumen masing-masing kerana ia masih boleh digunakan sehingga tarikh tamat tempoh.
Menurutnya. inisiatif berkenaan merupakan antara langkah penting kerajaan dalam memperkukuh tahap keselamatan dokumen pengenalan diri dan perjalanan negara.
“Ketika ini, pasport Malaysia berada pada kedudukan ketiga paling dipercayai di dunia berdasarkan kebebasan perjalanan tanpa visa yang dinikmati oleh pemegangnya,” katanya dipetik Harian Metro.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay serta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman.
Saifuddin memaklumkan bahawa beliau telah menerima taklimat daripada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dan Ketua Setiausaha KDN berhubung tahap kebolehpercayaan pasport Malaysia.
Usaha sedang digerakkan bagi memastikan semua keperluan dan prasyarat dapat dipenuhi mengikut jadual yang ditetapkan.
Selain pasport, MyKad juga akan dinaik taraf dengan reka bentuk serta ciri keselamatan lebih moden bagi mengekang pemalsuan dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa.
“Penambahbaikan ini dibuat bagi memastikan dokumen pengenalan negara sentiasa selamat, relevan dan diyakini,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan pembaharuan MyKad itu dirancang dalam tempoh empat tahun selaras dengan strategi keselamatan dokumen negara.
Baca juga:








