Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Pasport Malaysia terus membuktikan kekuatan globalnya apabila menduduki tempat ke-12 dalam Henley Passport Index 2025, sebaris dengan Amerika Syarikat, dengan akses tanpa visa ke 180 destinasi di seluruh dunia.
Kedudukan itu sekali gus mengekalkan reputasi Malaysia sebagai antara negara dengan pasport paling berkuasa di rantau Asia, di belakang Singapura yang kekal di tangga teratas dengan akses ke 193 destinasi.
Mengikut laporan indeks berkenaan yang menggunakan data eksklusif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Korea Selatan berada di tempat kedua dengan akses ke 190 negara, diikuti Jepun (189), sekali gus menunjukkan dominasi rantau Asia-Pasifik dalam mobiliti global.
Menariknya, Amerika Syarikat buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun tersingkir daripada kelompok 10 teratas, jatuh dari tangga ke-10 ke ke-12, berikutan sekatan kemasukan oleh beberapa negara termasuk Brazil, China dan Vietnam.
Pengerusi Henley & Partners, Dr Christian H. Kaelin berkata, kejatuhan kedudukan pasport Amerika menunjukkan perubahan ketara dalam landskap mobiliti antarabangsa dan kuasa diplomasi global.
“Negara yang semakin terbuka dan mengamalkan dasar timbal balik kini memperoleh lebih banyak pengaruh serta kebebasan bergerak di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, pasport United Kingdom turut mengalami kemerosotan, jatuh ke tangga kelapan iaitu kedudukan terendah sejak indeks diperkenalkan, walaupun pernah berada di tangga pertama pada 2015.
Dalam masa sama, China menunjukkan peningkatan ketara dengan membenarkan kemasukan tanpa visa kepada 76 negara, melonjak daripada tangga ke-94 ke-64 dalam tempoh sedekad hasil diplomasi aktif dan perjanjian dua hala dengan pelbagai negara.
Fenomena itu sekali gus memperlihatkan perubahan dinamik kuasa global, di mana negara Asia kini semakin mendominasi senarai pasport paling berpengaruh di dunia.
Pasport Malaysia yang stabil di kedudukan ke-12 terus menjadi kebanggaan rakyat, mencerminkan kepercayaan tinggi komuniti antarabangsa terhadap kestabilan, diplomasi dan reputasi negara di mata dunia.
Baca juga:








