SUBANG: Seramai 69 anggota pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 8.30 malam tadi selepas menamatkan misi kemanusiaan Operasi Starlight III di Myanmar.
Menurut Pemerintah Operasi Starlight III, Kolonel Dr Ahmad Farhan Ahmad Fuad, sepanjang 38 hari operasi, Hospital Medan Malaysia (HMM) memberikan rawatan kepada 3,706 pesakit dan menjalankan 305 prosedur pembedahan bagi membantu mangsa gempa bumi di wilayah Sagaing dan sekitarnya.
“Kita berada di sana selama 45 hari dan berjaya beroperasi selama 38 hari berturut-turut. Keselamatan anggota turut dijamin oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua negara,” katanya.
Pakar Bedah Am, Mejar Dr Azrul Aminur Rashid Yunus berkata, cabaran cuaca dan keadaan tidak menentu tidak menghalang pasukan untuk terus berbakti.
“Suhu mencecah 45 darjah Celsius, dan kadang-kadang kedengaran letupan. Tapi itu semua membakar semangat kami,” jelasnya.
Pasukan itu terdiri daripada 16 pegawai dan 53 anggota pelbagai kepakaran, termasuk Forward Anaesthesia and Surgical Team (FAST), Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan elemen keselamatan.
Ketibaan pasukan disambut secara rasmi oleh Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman bersama beberapa pegawai kanan tentera sebagai penghargaan atas khidmat bakti mereka.
Misi itu dilaksanakan sebagai solidariti kerajaan Malaysia terhadap rakyat Myanmar yang terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 pada 28 Mac lalu dan beberapa gempa susulan yang turut dirasai di negara jiran. HMM mula beroperasi pada 21 April lalu dengan menyediakan Perkhidmatan Perubatan Tahap 2.