KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk menubuhkan Sekolah Digital sebagai langkah memperkukuh pendekatan parti terhadap golongan muda, sejajar dengan keperluan era digital.
Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, penguasaan teknologi digital amat penting bagi memastikan anak-anak muda, khususnya pelajar di institusi pengajian tinggi termasuk di luar negara, memperoleh maklumat yang tepat dan terkini mengenai parti.
Menurut beliau, kegagalan UMNO sebelum ini mendekati golongan muda secara berkesan berpunca daripada kelemahan dalam memanfaatkan media sosial, khususnya dalam menjawab fitnah yang disebarkan.
“Dahulu kita beranggapan pendekatan ceramah dan ucapan sudah memadai untuk menarik sokongan anak muda. Namun realitinya kini berbeza. Media sosial mampu menyampaikan mesej kepada ratusan ribu orang hanya daripada capaian yang kecil,” katanya.
Abdul Azeez menegaskan bahawa golongan muda, yang merangkumi hampir 60 peratus pengundi, memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju dan kelangsungan sesebuah kerajaan.
“Anak-anak muda mengenali UMNO, namun ramai yang masih belum memahami sepenuhnya perjuangan dan hala tuju sebenar parti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa satu pertemuan bersama lebih 60 orang pelajar daripada UMNOSiswa dan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) telah diadakan pada Jumaat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Menurutnya, para pelajar mengemukakan pelbagai soalan berkaitan kekuatan UMNO serta usaha parti untuk kembali menerajui kepimpinan negara.
“Saya menjelaskan kepada mereka berdasarkan Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menunjukkan komitmen parti terhadap kebajikan dan pembangunan anak muda. Atas keprihatinan itu, satu usul telah diluluskan bagi memperkasakan sekolah kebangsaan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun KULN mempunyai hubungan rapat dengan UMNO, masih terdapat pelajar yang tidak mendapat maklumat terkini mengenai parti.
“Apabila fitnah dilemparkan terhadap UMNO, mereka tidak mempunyai fakta yang tepat untuk menafikan dakwaan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Azeez berkata Sekolah Digital UMNO akan berfungsi sebagai saluran penyampaian maklumat secara masa nyata berkaitan isu nasional dan persepsi terhadap parti.
“Melalui Sekolah Digital ini, pelajar akan dilibatkan secara langsung. Segala jawapan terhadap tohmahan dan isu semasa boleh diperoleh dengan mudah dan disebarkan ke seluruh dunia secara masa nyata,” katanya.
Beliau yakin Sekolah Digital UMNO yang akan diterajui oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, akan beroperasi berlandaskan maklumat sahih serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Baca juga:








