PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lagi suspek yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah terancang Geng Captain Praba.
Menurut kenyataan media pada Khamis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, suspek berkenaan diberkas menerusi Operasi Jack Sparrow yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada Rabu.
Beliau memaklumkan bahawa suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang pagi tadi atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
“Suspek ditangkap pada 4 Februari 2026 berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Sepang pada 14 Januari lalu.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut kerana menjadi ahli suatu kumpulan jenayah terancang.
“Untuk makluman, penangkapan tersebut dibuat dengan kerjasama dan bantuan pihak berkuasa tempatan di Bangkok, Thailand sebelum suspek dibawa pulang ke Malaysia,” katanya.
M. Kumar berkata, suspek turut dipercayai pernah terlibat dalam satu kes di Subang Jaya, Selangor pada Januari 2025.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya, selain memiliki senjata api ketika rusuhan yang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Manakala di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Selain itu, kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun.
PDRM dalam kenyataan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand atas kerjasama erat yang diberikan dalam penangkapan suspek.
M. Kumar menegaskan, PDRM akan terus komited menegakkan kedaulatan undang-undang demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan.








