KLANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menambah bilangan pegawai dan anggota bertugas pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sekiranya tahap keselamatan negara memerlukan langkah tambahan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini seramai 10,400 anggota termasuk pegawai akan digerakkan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang persidangan yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
“Persidangan ini acara besar negara, jadi PDRM khususnya KDNKA komited memastikan ia berjalan lancar. Jika ada keperluan, jumlah anggota akan ditambah,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Sambutan Hari Ulang Tahun ke-78 Pasukan Polis Marin di sini hari ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka dihadiri 34 pemimpin dan delegasi, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta Presiden China, Xi Jinping.
Mengulas mengenai isu himpunan menyokong misi Global Sumud Flotilla (GSF) susulan penahanan aktivis Malaysia oleh rejim Zionis, Azmi berkata, perhimpunan aman dibenarkan selagi mematuhi undang-undang.
“Seperti semalam, Polis Kuala Lumpur telah mengambil langkah bersesuaian memastikan himpunan berlangsung tertib. Jika ada lagi perhimpunan sehingga menjelang sidang kemuncak, PDRM akan terus beri komitmen agar ia berjalan secara aman,” jelasnya.
Baca juga: