Pegawai AS Di Malaysia Sertai Usaha Rundingan Damai Kemboja–Thailand

AMERIKA SYARIKAT: Pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat kini berada di Malaysia bagi menyokong rundingan damai antara Kemboja dan Thailand yang dijadual bermula Isnin ini, susulan konflik berdarah di sempadan kedua-dua negara.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memaklumkan bahawa beliau dan Presiden Donald Trump sedang berhubung rapat dengan pemimpin dari Kemboja dan Thailand serta memantau perkembangan semasa dengan teliti.

“Kami mahu konflik ini ditamatkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan media lewat Ahad waktu AS.

Kerajaan Thailand sebelum ini mengesahkan kehadiran delegasi dari kedua-dua negara ke Malaysia bagi membincangkan pelaksanaan gencatan senjata.

Ketegangan memuncak selepas insiden tembakan yang meragut nyawa seorang tentera Kemboja pada akhir Mei, diikuti peningkatan kekuatan ketenteraan di sempadan.

Ketidaktentuan itu mendorong Thailand ke ambang krisis politik.

Pertempuran terbaru yang berlaku Khamis lalu dikatakan paling buruk dalam tempoh sedekad apabila mengorbankan lebih 30 nyawa dan menyebabkan lebih 200,000 penduduk dipindahkan.

Dalam pada itu, Trump turut menegaskan bahawa rundingan damai perlu dimuktamadkan sebelum sebarang perjanjian perdagangan dapat dimeterai dengan kedua-dua negara.

Anda Mungkin Berminat