Pekerja bunuh majikan di kedai didakwa di Mahkamah Ipoh

Seorang pekerja kedai aksesori telefon bimbit dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pada Khamis atas pertuduhan membunuh majikannya.

Tertuduh, Yap Kok Ming, 54, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan bunuh seorang wanita, Lee Siew Lean, 49, di sebuah kedai menjual aksesori telefon bimbit di Laluan Rasi Jaya 8, Taman Rasi Jaya di Menglembu pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, 4 Januari 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun , tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan lapor berita RTM.

Mahkamah menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat mangsa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat