Pelaburan Tak Nampak, Anwar Minta Pembangkang Periksa Mata

KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak pembangkang yang mempertikai pelaksanaan pelaburan asing di negara ini, dengan menyifatkan kritikan tersebut sebagai tidak berasas dan berpunca daripada kegagalan mereka melihat realiti di lapangan.

Menurut Anwar, semua pelaburan berbilion ringgit yang diumumkan kerajaan adalah sahih dan sedang dilaksanakan secara berperingkat.

Beliau menegaskan bahawa pelaburan tersebut melibatkan projek berskala besar yang jelas kelihatan, khususnya dalam sektor teknologi tinggi seperti semikonduktor.

“Ini bukan pengumuman kosong, tetapi pelaksanaannya sedang berjalan. Projek-projek ini besar, bukan kecil yang tak nampak. Walau cip itu kecil, bangunannya besar. Itu pun tak nampak,” katanya dalam nada sinis.

Menjawab tuduhan kononnya tiada kesan ketara daripada pelaburan yang diumumkan, Anwar berkata masalah tersebut bukan terletak pada kerajaan, tetapi pada pihak yang “rabun mata”.

“Untuk menyatakan pelaburan berpuluh-puluh bilion tapi tak nampak apa-apa, itu soal mata rabun, bukan masalah saya. Pergi jumpa pakar mata atau minta Azizah bantu periksa,” katanya, merujuk kepada isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan doktor mata.

Tambah beliau, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka akan mengemukakan senarai rasmi projek pelaburan yang sedang dilaksanakan bagi menjawab keraguan sesetengah pihak.

Dalam perkembangan berkaitan, pelaburan asing langsung (FDI) ke Malaysia kekal kukuh, disokong oleh kestabilan politik, dasar ekonomi progresif dan usaha pembaharuan institusi yang diterajui kerajaan MADANI.

Pada suku pertama 2025, Malaysia mencatatkan aliran masuk pelaburan yang memberangsangkan dalam sektor teknologi, pembuatan, serta tenaga boleh baharu.

Penganalisis ekonomi melihat kenyataan Perdana Menteri sebagai usaha memperkukuh sentimen pasaran dan memberi keyakinan kepada pelabur bahawa kerajaan serius dalam memastikan pengumuman pelaburan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berimpak tinggi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat