Pelajar UTeM Raih Anugerah Reka Bentuk HVAC Antarabangsa

MELAKA: Nama Malaysia sekali lagi bersinar di pentas antarabangsa apabila seorang pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Nur Shahikhwan Mahamudin, dinobatkan sebagai penerima Design Expert Award dalam 5th Session Midea International HVAC Design Contest.

Pertandingan berprestij itu menghimpunkan idea dan bakat terbaik dari seluruh dunia termasuk penyertaan dari Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Georgia, Filipina, Afrika Selatan dan Azerbaijan.

Kejayaan Nur Shahikhwan menjadi bukti nyata bahawa anak muda tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan pesaing antarabangsa dalam bidang reka bentuk sistem Penyejukan dan Penyaman Udara (HVAC).

Tidak hanya pelajar, warga akademik UTeM turut mencipta sejarah.

Dalam pertandingan sama, Jurutera Pengajar Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKM), Ts. Siti Nor’ain Mokhtar, menerima Bronze Pencil Award bagi kategori profesional.

Pencapaian berganda itu memperlihatkan kebitaraan UTeM dalam bidang HVAC khususnya dalam menghasilkan reka bentuk sistem yang selari dengan keperluan industri serta permintaan global.

Kejayaan itu bukan sahaja mengangkat imej universiti, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam teknologi kejuruteraan di peringkat antarabangsa.

Anda Mungkin Berminat