Pelaksanaan MyTrip bagi perjalanan rentas sempadan lebih mudah

Bermula pada 1 Jun 2024, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR MyTrip melalui aplikasi MySejahtera.

Menerusi akaun Facebook rasmi JIM, pelaksanaan tersebut merupakan tempoh percubaan melalui Proof of Concept (POC) untuk tempoh tiga bulan dan akan diperluaskan untuk pelaksanaan penuh.

“Pemeriksaan digital ini akan memastikan pelepasan imigresen yang cepat dan lancar di pintu masuk negara.

“Pendaftaran MyTRIP telah mula dibuka. Untuk fasa pertama pelaksanaan, kemudahan ini dibuka kepada warganegara Malaysia yang menggunakan pintu masuk CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) melalui laluan bas dan motosikal,” katanya.

Dalam pada itu, kemudahan tersebut akan diperluaskan ke pintu masuk dan mod pengangkutan lain secara berperingkat.

Selain itu, bagi kesemua pengguna telefon pintar, hanya dengan tiga langkah mudah untuk menggunakan khidmat digital MyTrip iaitu pastikan anda mempunyai aplikasi MySejahtera terkini dengan ciri MyTrip atau muat turun aplikasi MySejahtera terlebih dahulu.

Kemudian, hubungkan pasport anda dengan klik ikon MYTRIP dan isi maklumat mengenai pasport anda dan seterusnya, paparkan kod QR semasa pemeriksaan imigresen.

Justeru itu, tempoh percubaan menerusi Proof of Concept (POC) diberikan sehingga 31 Ogos 2024 serta pasport perlu dibawa bersama sebagai dokumen perjalanan utama.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat