Pelantikan Hakim: Elak Spekulasi Tanpa Fakta – Sultan Selangor

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menzahirkan kebimbangan terhadap spekulasi dan tuduhan tidak berasas berkaitan pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman negara.

Baginda bertitah agar semua pihak berpegang kepada fakta yang sahih dan menghormati proses yang telah ditetapkan.

Titah itu disampaikan ketika baginda mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 pada 16 Julai lalu, sehari selepas sesi pre-council diadakan.

“Semua pihak diseru supaya mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperoleh fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara,” titah Baginda.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan pelantikan jawatan kehakiman utama negara termasuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta beberapa hakim mahkamah atasan lain.

Sultan Sharafuddin turut bertitah kepentingan pematuhan terhadap Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 122B yang memperincikan proses pelantikan hakim mahkamah atasan.

“Beta menekankan bahawa semua prosedur pelantikan hendaklah berpandukan undang-undang dan dilaksanakan secara telus serta berhati-hati,” titahnya.

Baginda turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025, yang menekankan bahawa pelantikan kehakiman utama perlu melalui proses nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, dengan rundingan bersama Majlis Raja-Raja.

“Segala proses perlu berjalan dengan penuh integriti demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan dalam pemerintahan negara,” titah baginda.

Anda Mungkin Berminat