Pelatih Terbaik Akademik TUDM, Leftenan Asryl Terima Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara

SEGAMAT: Ketekunan, kecemerlangan akademik dan semangat juang tinggi membuahkan hasil buat Leftenan Asryl Haron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) apabila beliau dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Akademik, sekali gus menerima Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara.

Menurut satu kenyataan, TUDM berkata, ia merupakan satu pengiktirafan tertinggi dalam kalangan pelatih TUDM.

“Atas kejayaan cemerlang beliau dalam KIPA, Lt Asryl TUDM telah dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Akademik dan menerima Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara sebagai penghargaan atas kecemerlangan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Untuk info, Asryl dilahirkan pada 15 Julai 1999 di Hospital Segamat, Johor, Lt Asryl merupakan anak kedua daripada lima beradik.

Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2, sebelum meneruskan ke Sekolah Menengah dan kemudiannya menyertai Maktab Tentera Diraja (MTD) pada tahun 2012 hingga 2015.

“Minat mendalam dalam bidang pertahanan mendorong beliau (Asryl) menyambung pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan dilantik sebagai Pegawai Kadet pada 13 Julai 2017, mengikuti pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal selama empat tahun.

“Kecemerlangan beliau terserlah apabila berjaya menamatkan Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA) di INSPEN 1 dengan keputusan cemerlang, sebelum meneruskan latihan ke Kursus Asas Penerbangan Siri 86/24 menggunakan pesawat Pilatus PC-7 Mk II, di mana beliau konsisten mengekalkan prestasi tinggi dalam semua ujian penerbangan,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, bukan sahaja cemerlang di akademik dan kokpit, Asryl turut aktif dalam arena sukan seperti bola tampar dan futsal, menjadikan beliau seorang pegawai muda yang seimbang dari segi intelek, fizikal dan sahsiah.

Anda Mungkin Berminat