Pembaharuan TVET: Anak-anak bukan ‘tikus makmal’

Oleh: Syahirah Harish

PETALING JAYA: Pembaharuan drastik dalam sistem pendidikan yang memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bermula dari Tahun Satu di sekolah rendah melalui Kurikulum Persekolahan 2027 telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ibubapa.

Mereka berpendapat keputusan ini dibuat tanpa kajian terperinci dan pandangan daripada semua pihak.

“Isu lambat bercakap (speech delay) dalam kalangan kanak-kanak masih perlu ditangani segera sebelum memperkenalkan elemen TVET yang kompleks.

“Jika kita tak selesaikan isu ini, macam mana anak-anak nak hadap segala Sistem KBAT, TVET?” kata seorang pengguna Facebook, Risz Eye-risz.

Sesetengah ibubapa juga bimbang bahawa penambahan subjek akan membebankan pelajar.

“Yang asas pun terkejar-kejar, subjek makin banyak. Eloklah biar pelajar kukuh perkara asas dahulu,” kata Fiesal Muhd.

Namun, ada juga ibubapa yang menyokong pengenalan TVET di awal peringkat pendidikan.

“Saya setuju dengan cadangan ini. Setidaknya generasi anak-anak akan diperkenalkan dengan kemahiran asas seperti bercucuk tanam, pembuatan pastri, dan bidang perkayuan,” kata Howell TyCalgary.

Sebelum ini, TVET yang bermula ketika di Tingkatan 4 dilihat memadai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyatakan bahawa pendidikan bidang berkenaan tidak sesuai dilaksanakan di peringkat sekolah rendah kerana melibatkan beberapa kesan lain termasuk kapasiti yang terhad.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat