MELAKA: Pembinaan menara telekomunikasi di Kampung Jus Permai disahkan tidak memberi kesan negatif terhadap nilai hartanah di kawasan berkenaan, sekali gus menepis kebimbangan sebahagian penduduk setempat.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, berkata pengesahan itu diperoleh hasil penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Melaka, yang mendapati tiada bukti menunjukkan pembangunan infrastruktur telekomunikasi menyebabkan penyusutan harga hartanah.
Menurutnya pembinaan menara itu sebaliknya berpotensi memberi nilai tambah kepada komuniti setempat, khususnya dari aspek liputan telekomunikasi dan kemudahan capaian internet yang lebih stabil.
“Antara kebimbangan yang dibangkitkan penduduk ialah kemungkinan nilai hartanah menurun.
“Justeru, jabatan berkaitan telah dipanggil bagi memberi penjelasan dan hasilnya jelas menunjukkan tiada bukti menyokong dakwaan berkenaan.
“Sebaliknya, kemudahan ini bakal meningkatkan kualiti perkhidmatan komunikasi serta menyokong keperluan digital masyarakat,” katanya dipetik Melaka Hari ini.
Hadir sama dalam sesi itu ialah Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH), Dr. Nazdiana Ab Wahab, Ketua Pegawai Operasi MICTH, Mohd Jailani Deraman serta Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Melaka, Syed Isa Syed Shekh Alsagoff.
Dalam perkembangan sama, Fairul Nizam menyeru semua pihak agar memberi sokongan terhadap pembinaan struktur telekomunikasi itu memandangkan manfaatnya bukan sahaja kepada penduduk setempat, malah kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berhampiran.
“Saya berharap tidak timbul sebarang gangguan terhadap projek ini dan masyarakat dapat melihat kepentingan pembangunan infrastruktur telekomunikasi sebagai keperluan asas dalam era digital,” ujarnya.
Baca juga:








