Pemergian Shing Xuen bukan sekadar tragedi, fahami dunia anak kita – Nurul Izzah

PETALING JAYA: Tragedi menimpa mendiang Yap Shing Xuen wajar dijadikan iktibar untuk melindungi generasi muda dengan lebih serius.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata demikian selepas menziarahi keluarga mendiang bagi menyampaikan ucapan takziah daripada keluarganya dan seluruh warga PKR.

“Kadang-kadang, ada perit yang tidak terucap, ada kosong yang tidak terisi. Pemergian Shing Xuen bukan sekadar satu tragedi, tetapi panggilan untuk kita lebih peka, lebih mendengar dan memahami dunia anak-anak kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Nurul Izzah turut menyatakan kekaguman terhadap kekuatan ibu mangsa yang tabah menghadapi dugaan besar itu, sekali gus memberi inspirasi kepadanya untuk terus memperjuangkan keadilan bagi semua kanak-kanak.

“Melihat ketabahan seorang ibu dalam menghadapi ujian sebegini membuat saya lebih tekad memperjuangkan keselamatan dan keadilan untuk semua anak-anak,” ujarnya.

Beliau menegaskan, siri kejadian melibatkan kanak-kanak termasuk kes arwah Zara Qairina serta insiden pemerkosaan baru-baru ini membuktikan keperluan mendesak untuk perubahan menyeluruh terhadap sistem perlindungan kanak-kanak di negara ini.

“Jelas sekali hal ini menuntut perubahan drastik dan holistik sebelum lebih ramai menjadi mangsa. Insya-Allah, kita harus bersatu demi masa depan yang lebih selamat untuk anak-anak,” katanya.

Tragedi yang menimpa Yap Shing Xuen baru-baru ini mencetuskan kebimbangan masyarakat terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat