Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Para perwakilan, ahli serta penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dinasihatkan untuk tidak memberi komen keterlaluan sehingga boleh mencetuskan permusuhan serta perpecahan kepada calon yang bakal bertanding pada pemilihan parti.
Perkara itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR yang turut menegaskan bahawa semua pihak harus sedar bahawa khususnya barisan calon yang bertanding jawatan tertinggi PKR merupakan tokoh yang banyak berjasa dan berkorban buat untuk parti itu sejak sekian lama.
Anwar berkata, beliau hadir memberi sokongan kepada semua calon yang bertanding kerana semua mereka sememangnya didapati layak, namun jawatan yang diperuntukkan adalah terhad, menyebabkan ahli perlu memilih.

“Persaingan di peringkat Pusat, banyak orang susah hati… saya tak sangat susah hati kerana yang bersaing Timbalan dan Naib Presiden, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita itu di kalangan sahabat lama yang setia.
“Saya tengok senarai calon Naib Presiden misalnya, ramai yang cukup layak. Kalau saya ada dua tempat untuk Timbalan Presiden misalnya, dua-dua saya sokong. Kalau ada 11 tempat Naib Presiden, semua saya sokong.
“Kalau kita lihat semua mereka, rekodnya baik tapi kalau kita tak pilih, janganlah rendahkan martabat orang lain, ini disebut adab dan akhlak dalam perjuangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat PKR Langkawi pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan antara calon yang bertanding bagi menjawat kerusi tertinggi itu merupakan sahabat yang pernah bersama-sama berjuang sejak awal penubuhan PKR.
Senario pemilihan pusat PKR menyaksikan perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR oleh Datuk Seri Rafizi Ramli bersama Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar.
Baca juga: