Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Tular satu surat pekeliling baru-baru ini yang dipercayai berkaitan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Surat dengan kepala surat (letterhead) PKR itu didakwa diutuskan Setiausaha Agung parti, Fuziah Salleh kepada semua jawatankuasa dan ahli-ahli parti bertarikh 5 November 2024.
Surat berkenaan memaklumkan tarikh tutup pendaftaran anggota baru dan permohonan pertukaran Cabang.
“Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR melalui pekeliling resolusi Majlis Pimpinan Pusat Bil 1/2024 telah secara majoriti bersetuju untuk menetapkan tarikh tutup pendaftaran keanggotaan baru dan pertukaran cabang untuk kegunaan Pemilihan Parti 2025 adalah pada 15 Disember 2024.
“Permohonan pertukaran cabang hendaklah dibuat secara individu dan permohonan secara pukal tidak dilayan,” katanya.
Untuk mendapatkan penjelasan mengenai surat tersebut, Malaysia Bangkit sudah cuba menghubungi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Dr Zaliha Mustafa, bagaimanapun masih tiada jawapan daripada beliau sehingga kini.
Sebelum ini, Fuziah memaklumkan kepada media bahawa PKR akan membuat pemilihan selepas mandat dipegang barisan pimpinan parti itu pada ketika ini berakhir Mei tahun depan.
“Sebenarnya pemilihan parti memang tarikh akhir pada Mei 2025, maksudnya tidak ada sebab untuk menangguhkannya.
“Naratifnya bukan disegerakan tapi maksudnya akan dilakukan ikut masa, tidak ditangguhkan selepas pilihan raya tapi memang tamat tempoh pada Mei 2025,” katanya.
Tedahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pemilihan yang dipercepatkan akan membuka ruang kerjasama antara tenaga muda dengan pemimpin lama untuk berganding bahu menguruskan parti dengan lebih efektif.
Anwar memberitahu, keputusan tidak menangguhkan pemilihan PKR itu diambil dalam mesyuarat Biro Politik parti itu.
Sementara itu, Anwar akan terus memegang jawatan Presiden PKR pada pemilihan parti.
Fuziah yang dipetik Utusan Malaysia berkata, perlembagaan parti hanya membenarkan setiap Presiden memegang jawatan selama tiga penggal.
Ini menimbulkan persoalan sekiranya penggal selepas pemilihan akan datang, menjadi penggal terakhir Anwar memimpin PKR selaku Presiden parti yang dipegangnya sejak 2018 dan bagaimana kedudukannya dalam kerajaan.