PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal melakar sejarah dalam Pemilihan 2025 dengan pengenalan sistem ‘proportional representation’.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, sistem itu yang pertama kali diluluskan dalam Kongres Khas pada Disember 2024 akan membawa pendekatan baru yang lebih inklusif dan adil dalam menentukan perwakilan.
“Pemilihan kali ini juga dijangka melibatkan lebih 20,000 perwakilan yang akan mengundi secara dalam talian.
“Selain 10,000 perwakilan yang hadir secara fizikal,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, Kongres Nasional 2025 dijadualkan berlangsung di Johor Bahru pada 23 hingga 25 Mei 2025.
Beliau berkata, dalam usaha memudahkan perwakilan dari Sabah dan Sarawak, MPP memutuskan untuk menyediakan pusat undian satelit di Kuching dan Kota Kinabalu.
“Perwakilan dari kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang di kedua-dua negeri ini boleh mengundi secara fizikal di pusat-pusat tersebut sambil mengikuti perjalanan kongres dari jarak jauh.
“Senarai perwakilan yang layak akan diumumkan kelak,” katanya.
Tambah Fuziah, MPP juga menyampaikan penghargaan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti 2025 yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
“Mesyuarat MPP telah berakhir dengan sokongan yang padu ahli MPP ke atas keputusan bersama yang telah dicapai melalui kepimpinan Datuk Seri Presiden (Anwar Ibrahim),” ujarnya.