Pemimpin BERSATU bebas selepas bayar kompaun RM4.1 juta kes Jana Wibawa

KUALA LUMPUR: Pemimpin BERSATU, Adam Radlan Adam Muhammad, hari ini terlepas daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas Mahkamah Sesyen membebaskannya berikutan pembayaran kompaun RM4.1 juta.

Keputusan itu mencetuskan persoalan apabila kes besar yang melibatkan projek Jana Wibawa bernilai puluhan juta ringgit berakhir hanya dengan kompaun, tanpa perbicaraan penuh.

Hakim Suzana Hussin membenarkan pembebasan tersebut selepas pihak pendakwaan memaklumkan telah menerima surat representasi Adam di bawah Seksyen 92(1) Akta 613 (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram).

Memetik laporan portal FMT, Peguam bela Rajan Navaratnam menegaskan anak guamnya wajar dibebaskan sepenuhnya memandangkan tiada lagi pertuduhan akan dikemukakan selepas kompaun dibayar.

Adam, 43, sebelum ini didakwa:

Meminta sogokan antara 3.5 peratus hingga 7 peratus nilai projek daripada pengarah MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Menerima RM500,000 bagi projek jalan bernilai RM47.8 juta di Perlis.

Menerima RM4.1 juta sebagai sogokan untuk membantu syarikat mendapatkan projek Jana Wibawa.

Meminta sogokan tambahan RM2 juta untuk projek sama.

Beliau juga berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.

Mengikut undang-undang, sabitan bagi pertuduhan rasuah boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan. Namun, dengan bayaran kompaun, semua pertuduhan itu kini digugurkan.

Kes ini sekali lagi menimbulkan persoalan awam mengenai keberkesanan undang-undang rasuah apabila seorang tokoh politik boleh “membayar untuk bebas” daripada pertuduhan serius.

Untuk rekod, Adam merupakan Timbalan Ketua BERSATU Segambut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat