Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Beberapa pemimpin UMNO tampil mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu konsisten menentang amalan lompat parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, amalan lompat parti pernah menyebabkan negara berada dalam keadaan tidak stabil suatu masa dahulu.
Malah katanya, tindakan mengumpan atau menawarkan jawatan tertentu kepada ahli UMNO supaya keluar dan meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain yang turut berada dalam Kerajaan Perpaduan adalah resepi keretakan yang perlu dielak.

“Sebagai parti yang paling terkesan akibat budaya ini, UMNO menyedari kesan buruk yang dibawanya.
“Kestabilan politik dan kerajaan hari ini bergantung kuat kepada sikap hormat menghormati dan saling mempercayai di antara parti-parti yang membentuknya,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu merujuk desas-desus mengenai penyertaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam PKR.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad mengesahkan wujudnya perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ke dalam PKR.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, seperti dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, UMNO sangat menghormati keberadaan dan kedudukan setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Justeru, adalah wajar UMNO juga menerima penghormatan yang sama,” katanya.

Menyokong sama kenyataan tersebut, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, budaya lompat parti merupakan tindakan tidak bertanggungjawab kerana akan mengundang ketidakstabilan dan merosakkan kepercayaan yang dibina.
Menurut beliau, kestabilan politik bukan sekadar satu keperluan tetapi tanggungjawab bersama selain merupakan kunci kepada kemajuan, keyakinan rakyat dan kemakmuran negara.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menegaskan, setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan membawa peranan dan amanah penting yang mesti dihormati oleh semua pihak.
“Seperti yang sering ditekankan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, UMNO berdiri teguh di atas prinsip kepercayaan dan kerjasama.
“Kerajaan ini terbina atas asas perpaduan yang memerlukan keikhlasan, bukan percaturan politik yang merosakkan,” katanya dalam satu kenyataan seperti disiarkan UMNO Online.
Baca juga: