Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menyambut baik pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa institusi pendidikan mahupun sekolah tidak wajar dijadikan tempat hidangan minuman keras atau arak.
Menerusi kenyataan media di Facebooknya pada Sabtu, Akmal berkata, keputusan itu selaras dengan usaha mendidik rakyat, khususnya generasi muda mengenai bahaya terhadap penyalahgunaan alkohol yang boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat.
Menurut beliau, isu melibatkan kes pemandu mabuk yang masih berulang menunjukkan keperluan untuk kerajaan mengambil pendekatan yang lebih tegas dalam mendidik rakyat tentang bahaya minuman keras.
“Rakyat mengharapkan satu langkah yang tuntas untuk mendidik rakyat tentang bahaya minuman keras untuk diajar di sekolah,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut meminta penjelasan daripada kerajaan bahawa terdapat sekiranya terdapat perubahan kepada pendirian tersebut.
“Jika benar ada perubahan, kerajaan wajar menjelaskan sebabnya. Adakah minuman keras ini dianggap membawa kebaikan kepada rakyat dari segi kesihatan atau sosial?” soalnya.

Akmal menambah, keputusan berkaitan dasar sosial dan pendidikan tidak seharusnya dipengaruhi oleh pertimbangan politik.
“Jangan kerana takut kehilangan undi, kita buat keputusan yang salah untuk masa depan generasi muda,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa tempat pendidikan harus bebas daripada budaya meminum arak, dan menyeru agar semua pihak menghormati nilai moral serta norma masyarakat Malaysia.
“Jika mahu minum, silakan cari tempat lain. Sekolah bukan tempatnya,” katanya lagi.
Perdana Menteri, pada Khamis lalu berkata, adalah lebih wajar sekiranya alkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah namun mengakui kerajaan mempunyai kekangan ke atas institusi pendidikan yang dikendalikan oleh pihak swasta.
Kenyataan Anwar itu dibuat sebagai menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, berhubung majlis keraian alumni sebuah sekolah persendirian di Ipoh baru-baru ini.
Kenyataan perdana menteri itu mengundang rasa tidak puas hati beberapa pihak termasuk Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, dan Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng, yang menegaskan aspek pengurusan dan dana sekolah boleh terjejas jika larangan menghidangkan minuman keras di premis persendirian dikenakan.
Baca juga:








