Penanaman padi ala Sekinchan diperluas ke Kedah, Kelantan dan Sabah – Mohamad Sabu

PETALING JAYA: Pelaksanaan penanaman padi ala Sekinchan menerusi Skim Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) terbukti berkesan dalam meningkatkan hasil padi negara, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, kejayaan skim itu didorong oleh pengurusan ladang yang dilaksanakan secara bersepadu, berskala besar serta diurus dengan lebih tersusun dan profesional.

“Pendekatan ini bukan sekadar teori, sebaliknya telah menunjukkan kesan positif yang nyata di lapangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Mohamad memaklumkan, pelaksanaan Smart SBB kini mula diperluaskan ke beberapa negeri utama pengeluar padi iaitu Kedah, Kelantan dan Sabah.

Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi memperkukuh jaminan bekalan makanan negara di samping meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan para pesawah.

“Saya percaya sektor padi negara berpotensi untuk berkembang lebih jauh dan berdaya saing sekiranya diurus dengan kaedah yang betul serta dilaksanakan secara kolektif.

“Apabila kita bergerak bersama dan menggunakan pendekatan yang sesuai, insya-Allah sektor padi negara mampu mencatat kejayaan yang lebih besar,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat