Bomba berjaya menyelamatkan seorang pendaki yang mengalami masalah lutut dan tidak mampu turun sendiri di KM 3.8 Gunung Kinabalu, Kundasang, Ranau, Sabah pada pukul 2 petang hari Khamis.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pegawai Bomba Bantuan Jayrell Tony melaporkan pendaki tersebut merupakan seorang wanita yang tidak dapat meneruskan perjalanan ke kaki gunung berkenaan.
“Pihak bomba bergegas ke lokasi dan membawa mangsa turun menggunakan kaedah ‘piggyback carry‘.
“Mangsa kemudiannya berjaya dibawa turun dan diserahkan kepada anggota Koperasi Serbaguna Kakitangan Taman Sabah Berhad (Koktas) di Pintu Timpohon,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jayrell turut melaporkan bahawa mangsa yang diserahkan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Taman Kinabalu dan operasi tamat pada pukul 4.00 petang.
Operasi tersebut melibatkan seramai empat orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau bersama seorang malim gunung.
Terdahulu, pada Selasa Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) menyelamatkan seorang wanita yang mengalami sakit perut, muntah, pening dan mengadu tidak mampu berjalan di kawasan sama.
Mangsa yang berusia 25 tahun itu telah selamat dibawa turun menggunakan kaedah ‘piggyback carry‘.
Baca juga: