PETALING JAYA: Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan menikmati pendidikan percuma.
Pengerusi MTOS, Danial Al-Rashid menyifatkan langkah itu sebagai dasar progresif berimpak tinggi yang memperkukuh prinsip keadilan sosial serta membuka akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif kepada golongan OKU.
“MTOS melihat inisiatif ini sebagai pemangkin penting untuk meningkatkan kebolehpasaran, mobiliti sosial dan kualiti hidup golongan OKU dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Beliau berkata, pendidikan merupakan asas utama pemerkasaan OKU.
Justeru katanya, pelaksanaan dasar itu perlu menyeluruh dengan mengambil kira sokongan tambahan seperti kemudahan akses fizikal, bahan pembelajaran mesra OKU, bantuan akademik serta kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian.
Danial turut menjelaskan bahawa di peringkat negeri, Kerajaan Negeri Selangor melalui MTOS komited menyokong agenda tersebut dengan menyelaras dasar dan program yang relevan.
Beliau berkata, kerjasama strategik bersama institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan akan digerakkan selaras dengan Dasar OKU Selangor.
“Pendekatan bersepadu antara Persekutuan dan Negeri amat penting bagi memastikan manfaat dasar ini benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.
Sehubungan itu, MTOS berharap pengumuman Perdana Menteri menjadi titik tolak kepada reformasi menyeluruh dalam ekosistem pendidikan inklusif negara.
MTOS juga menegaskan komitmen untuk terus menjadi rakan strategik dalam memperjuangkan hak serta potensi golongan OKU.








