PARLIMEN | Jumlah pengeluaran Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencecah RM12.07 bilion setakat 31 Disember 2024, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Katanya, pengeluaran itu melibatkan sebanyak 4.11 juta ahli yang berumur bawah 55 tahun.
Manakala, jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel pula adalah sebanyak RM7.73 bilion, ujarnya.
“Pengenalan Akaun Fleksibel ini dilihat dapat meningkatkan aliran tunai ahli ketika keadaan mendesak dan cadangan pengeluaran KWSP secara bersasar tidak lagi relevan untuk diperkenalkan pada masa ini memandangkan ahli boleh membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel,” katanya dalam ucapan penggulungan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim, di Dewan Rakyat pada Rabu.
Katanya lagi, Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik serta mencabar ini.
Tambahnya, pengeluaran Akaun Fleksibel telah membantu ahli KWSP memenuhi keperluan kewangan jangka pendek mereka.
Akaun Fleksibel (Akaun 3) diperkenalkan bagi membantu ahli menangani keperluan kewangan jangka pendek yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa untuk apa-apa tujuan mengikut keperluan terutamanya ketika kecemasan.
Baca juga: