Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kenyataan kontroversi yang sering dikeluarkan oleh pimpinan Parti Perikatan Nasional (PN) khususnya oleh PAS sehingga menyinggung perasaan pengundi bukan Islam menjadi faktor bahawa MCA tidak mahu bergabung dengan parti itu buat masa ini.
Menurut Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan Siow Kong Choon, atas disebabkan itu partinya kini tidak mempunyai sebarang pandangan yang positif terhadap PN dan PAS.
“Saya rasa ucapan presiden jelas bahawa setakat hari ini pihak MCA masih tidak dapat bergabung dengan PN kerana segelintir pemimpin PN khususnya daripada PAS yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi, yang menyinggung perasaan ramai pengundi bukan Islam.
“Dan mereka (MCA) tidak mempunyai pandangan positif terhadap PN dan PAS,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Malaysia Bangkit pada Isnin, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong yang menolak kemungkinan partinya itu akan menyertai PN dek kerana masyarakat Cina sukar menerima ideologi parti itu.
Siow menjelaskan bahawa desas-desus berkait MCA mahu bergabung dengan PN itu timbul kerana terdapat cadangan agar MCA dapat mempertimbangkan kerjasama politik dengan PN.
Namun katanya, MCA perlu mengambil kira realiti sokongan yang berada di lapangan sebelum melakukan sebarang keputusan besar.
“Tidak, soalan ini terbangkit kerana ada cadangan untuk MCA bergabung dengan PN, oleh itu jawapan dan pendirian MCA serta Presiden MCA adalah setakat hari ini MCA tidak akan bergabung dengan PN kerana ramai pengundi bukan islam yang tidak dapat menerima kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin mereka,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan, timbulnya desas-desus yang menyatakan bahawa MCA dan sebuah lagi parti komponen Barisan Nasional (BN), MIC kini merajuk dan ingin meninggalkan gabungan itu.
Sehingga kini hanya perwakilan MIC yang sebulat suara bersetuju untuk meluluskan dua usul keluar BN, namun perkara itu hanya akan diputuskan selepas ketetapan daripada Jawatankuasa Kerja Pusat.
Difahamkan, MIC dan MCA mula merajuk ketika mana UMNO dilihat lebih cenderung untuk menjalinkan hubungan kerjasama di luar gabungan itu iaitu DAP.
“Pendirian MCA amat jelas, tiada DAP. Dalam sebarang keputusan besar mengenai kerjasama politik pada masa depan, jika UMNO terus cenderung kepada kerjasama di luar BN terutamanya DAP sehingga semangat BN hilang makna, MCA tidak akan berdiam diri,” kata Wee Ka Siong.
Baca juga:








