JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Hari Raya Aidilfitri 2026 sebanyak sebulan gaji kepada 18,455 penjawat awam tetap dan kontrak di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata bantuan itu tertakluk kepada syarat dan ketetapan Pekeliling Perkhidmatan Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2026.
Beliau berkata, bantuan berkenaan akan memanfaatkan 11,271 penjawat awam negeri, 6,192 warga kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 992 kakitangan Badan Berkanun Negeri.
“Bayaran Bantuan Khas Kewangan itu akan dibuat pada 5 Mac 2026 atau pada tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Melantik masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, kerajaan negeri berharap pemberian bantuan itu dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti.
“Kerajaan Negeri berharap pemberian ini dapat menyuntik semangat untuk terus memacu Johor ke tahap lebih baik demi kesejahteraan Bangsa Johor, insya-Allah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen dan sumbangan penjawat awam negeri dalam memastikan kelancaran pentadbiran serta pembangunan Johor.
Baca juga:








