Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Mersing

Seorang lelaki warga tempatan berumur 53 tahun maut apabila terlibat dalam kemalangan antara motosikal yang ditunggangnya dengan sebuah lori di KM29 Jalan Nitar Mersing, Johor, pukul 12 tengah hari pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata dalam kenyataan, pihaknya telah menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kemalangan tersebut.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca apabila sebuah motosikal jenis Honda ADV 750L yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan melanggar sebuah lori jenis Hino yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 38 tahun.

“Mangsa yang menunggang motosikal meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Mersing akibat kecederaan parah di bahagian kaki dan badan.

“Pemandu lori yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis Mersing turut menasihati orang ramai untuk berhati-hati dan mematuhi undang-undang di jalan raya untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat