Penyambungan bekalan air peringkat pertama di Pulau Pinang berjaya

Kerja-kerja penyambungan bekalan air di beberapa kawasan di Seberang Perai dan Pulau Pinang berjaya dilakukan selepas kerja penggantian paip yang dirancang disiapkan lebih awal dari yang telah dijadualkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan, menyatakan pihaknya berjaya menyelesaikan semua kerja penggantian yang dilaksanakan di Loji Rawatan Air Sungai Dua dan 22 lokasi lain lebih awal daripada jadual.

“Peringkat pertama pemulihan bekalan air berjaya dipulihkan pada pukul 11 malam tadi.

“Bekalan air ini akan dipulihkan beransur-ansur pada Khamis buat 197,025 pengguna air di Seberang Perai, merangkumi 33 peratus daripada 590 ribu pengguna yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pathmanathan berkata peringkat pertama proses pemulihan tersebut sepatutnya dijadualkan siap pada pukul 6 pagi Khamis, tetapi siap lebih awal kerana ia tidak terjejas dengan kerja penggantian di Sungai Prai.

Ini kerana Loji Rawatan Air Sungai Dua sedang mengepam air kepada pengguna melalui saluran paip utama yang lain.

Sebelum ini, PBAPP mengumumkan kira-kira 590 ribu pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan bekalan air selama 96 jam bermula Rabu hingga Ahad.

Ini bagi membolehkan kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang.

Kerja-kerja pemulihan bekalan air untuk peringkat kedua dijangka akan dilaksanakan mulai pukul 6.01 pagi Jumaat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat