Penyokong UAE Baling iPhone, Kunci Kereta Ke Arah Pemain Qatar

QATAR: Perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar baru-baru ini bukan sahaja mencuri perhatian kerana kemenangan dramatik Qatar 2-1 tetapi juga kerana insiden luar biasa melibatkan penyokong UAE yang bertindak agresif dengan cara yang unik apabila membaling selipar, botol air, iPhone 17 Pro Max dan kunci kereta ke dalam padang ke arah pemain lawan.

Kejadian berlaku selepas Qatar menjaringkan gol kemenangan, sekali gus menempah tiket ke Piala Dunia 2026.

Kekecewaan penyokong UAE memuncak apabila pasukan mereka gagal menunjukkan prestasi meyakinkan, malah ada yang membaling objek ke arah pemain UAE sendiri yang dianggap ‘lembik tak melawan’.

Lebih mengejutkan, beberapa penyokong dilaporkan menceroboh padang dan terpaksa dileraikan oleh petugas keselamatan.

Walaupun insiden itu tidak melibatkan kecederaan serius, ia mencetuskan perdebatan hangat di media sosial dan forum bola sepak antarabangsa.

Insiden ini memperlihatkan bentuk baharu ‘hooliganisme’ yang tidak berpaksikan alkohol atau objek tajam seperti di Eropah tetapi tetap mencerminkan kemarahan yang diekspresikan dengan cara mewah dan dramatik.

UAE kini perlu melalui satu lagi pusingan ‘play-off’ timbal balik menentang Iraq untuk merebut tempat ke Piala Dunia, manakala Qatar mara secara automatik selepas kemenangan tersebut.

Pihak penganjur dan Persatuan Bola Sepak UAE dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden itu, termasuk kemungkinan tindakan disiplin terhadap penyokong yang terlibat.

Anda Mungkin Berminat