PETALING JAYA: Pernahkah anda berbicara dengan kecerdasan buatan (AI) tentang isu peribadi, kesihatan mental atau hubungan? Jika ya, kenyataan terkini dari CEO OpenAI, Sam Altman, mungkin membuat anda berfikir dua kali.
Dalam satu temu bual bersama personaliti terkenal, Theo Von, Altman mendedahkan bahawa tiada perlindungan undang-undang ke atas kerahsiaan perbualan pengguna dengan ChatGPT dan AI seumpamanya.
“Tiada kerahsiaan seperti yang anda dapat bila berbicara dengan doktor, peguam atau ahli terapi.
“Saya rasa ia sangat tidak wajar dan kita sepatutnya mewujudkan kerangka undang-undang baharu untuk menangani perkara ini,” katanya memetik laporan media antarabangsa.
Pengakuan itu segera mencetuskan gelombang kemarahan di media sosial.
Ramai pengguna berasa ‘dikhianati’ dan ‘terdedah’ terutamanya golongan muda yang bergantung kepada AI sebagai tempat meluahkan emosi dan mencari nasihat.
Kajian terbaru oleh Common Sense Media mendapati 72 peratus remaja pernah menggunakan AI sebagai teman bicara dan lebih 50 peratus mempercayai nasihat yang diberikan.
Altman turut menyuarakan kebimbangan terhadap kebergantungan emosi meningkat yang menurutnya boleh menjejaskan kesejahteraan psikologi remaja.
Apa yang pengguna boleh lakukan? Elakkan berkongsi maklumat sensitif dengan AI buat masa ini, gunakan AI sebagai alat sokongan, bukan pengganti profesional dan semak dasar privasi dan pemadaman data sebelum berkongsi.