KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi berkata pembangunan PERDA Halal Park bakal menjadi pemacu utama ekosistem industri halal Malaysia, menyediakan platform menyeluruh yang merangkumi pengeluaran, teknologi, logistik dan akses pasaran global.
Beliau menjelaskan sistem pensijilan halal negara kini diiktiraf di lebih 50 negara dan menjadi penanda aras dunia, menjadikan Malaysia sebagai salah satu peneraju industri halal antarabangsa.
Menurut Zahid, pengembangan ekosistem halal ini menekankan kepentingan memperluas rantaian bekalan, meningkatkan kecekapan pengedaran serta memanfaatkan teknologi seperti IoT dan blockchain bagi memastikan piawaian kualiti produk halal lebih telus dan diyakini.
“PERDA Halal Park memberi peluang kepada usahawan luar bandar untuk berkembang, meningkatkan kapasiti dan menembusi pasaran antarabangsa. Insya-Allah, dari sini kita akan melihat lebih ramai usahawan bersaing di peringkat dunia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Selasa.
Beliau menambah bahawa potensi sebenar industri halal global sangat besar, dengan pasaran dijangka mencecah sekitar USD5 trilion menjelang 2030, menjadikan Malaysia perlu mengambil pendekatan tersusun dan berani untuk merebut peluang ini.
Zahid turut menegaskan bahawa pembangunan PERDA Halal Park bukan sekadar membabitkan aktiviti pengeluaran, tetapi melibatkan pendekatan holistik termasuk teknologi moden, logistik yang efisien dan strategi pemasaran global, bagi memastikan setiap produk halal negara mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Dalam masa sama, beliau mahu memastikan usahawan desa dan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus industri halal, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan dan mengangkat Malaysia sebagai kuasa besar dalam industri halal global.
Baca juga:







