SANDAKAN: Kawalan keselamatan di perairan Timur Sabah terus diperhebat apabila Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) menerima empat unit baharu Bot Pemintas Laju G2000 MkII semalam, sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang memperkukuh pertahanan maritim negara.
Penyerahan aset strategik itu dilakukan oleh wakil Syarikat Gading Marine kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu majlis rasmi di Sandakan.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu hantaran di Facebook berkata, FIC G2000 MkII direka khas untuk operasi pemintasan berkelajuan tinggi dan dilengkapi dengan Remote Control Weapon Station (RCWS) automatik, mesingan berat berkaliber 12.7mm dan berkeupayaan memecut sehingga 50 knot.
Menurut TLDM, penambahan aset itu amat penting bagi mendepani cabaran keselamatan di Zon Maritim Malaysia Timur (ZMMT) yang sering berdepan ancaman bukan tradisional seperti jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan pencerobohan asing.
“Dengan kemampuan memecut sehingga 50 knot, bot ini mampu melakukan pintasan dengan pantas, sekali gus membantu kami bertindak segera terhadap sebarang cubaan pencerobohan atau jenayah rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.
Katanya, empat bot terbaharu itu merupakan sebahagian daripada 13 unit FIC G2000 MkII yang diperoleh secara berperingkat.
Sebelum ini, TLDM berkata, dua unit telah diserahkan kepada MAWILLA 2 pada Februari lalu dan menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak enam buah.
“Ini adalah sebahagian pelan jangka panjang kerajaan dalam memastikan TLDM dilengkapi aset moden dan cekap bagi menjamin keselamatan perairan negara, terutama di kawasan strategik yang berisiko tinggi,” menurut kenyataan itu lagi.