Perkukuh Tenaga Mahir Demi Jamin Bekalan Protein Negara – Mohamad Sabu

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Dalam keadaan dunia berdepan krisis tenaga global ketika ini, Kerajaan Madani tidak akan ambil mudah soal bekalan makanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan bersiap sedia memperkukuh sektor pertanian dan penternakan supaya negara tidak terlalu bergantung kepada sumber luar.

“Baru-baru ini Bang Mat turun ke Institut Pertanian Bumbong Lima di Seberang Perai Utara, Kepala Batas.

“Di sini, pelbagai usaha dijalankan dalam latihan dan pembangunan kemahiran sektor agro, termasuk dalam bidang penternakan ayam.

“Pelajar dan peserta latihan diberi pendedahan secara praktikal daripada penyediaan reban, penjagaan kesihatan ternakan, pemberian makanan, hinggalah kepada pengurusan hasil seperti daging dan telur.

“Melalui latihan ini, mereka bukan sahaja mempelajari asas penternakan, tetapi turut didedahkan kepada amalan moden dan lebih efisien dalam industri ternakan,” ujarnya.

Kata beliau, itu antara usaha usaha penting untuk melahirkan usahawan agro yang berkemahiran, khususnya dalam sektor sumber protein seperti ayam yang menjadi keperluan utama rakyat.

Sehubungan itu, beliau percaya kita perlu terus memperkukuh tenaga mahir dalam bidang ini supaya bekalan sumber protein negara kekal stabil, mencukupi dan mampu dinikmati oleh rakyat pada harga yang berpatutan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat