Permusuhan Israel Tidak Akan Dibiar – Erdogan

ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan bahawa tindakan permusuhan Israel terhadap Gaza tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Beliau berjanji Turkiye bersama dunia Islam akan terus berdiri teguh menyokong Palestin dan Gaza dalam menghadapi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

“Permusuhan di pihak Israel tidak akan terlepas daripada perhitungan.

“Kami akan lakukan segala yang termampu di Turki dan dunia Islam untuk terus bersama Palestin dan Gaza,” kata Erdogan dalam ucapan lantang yang disiarkan media Turki.

Kenyataan itu hadir ketika serangan berterusan Israel ke atas Gaza terus mengorbankan ribuan nyawa dan menambah penderitaan rakyat Palestin.

Menurut laporan antarabangsa, Israel turut menghalang operasi puluhan organisasi bantuan kemanusiaan termasuk Oxfam dan Doctors Without Borders dengan alasan tidak terbukti mengenai kaitan dengan Hamas.

Tindakan itu dikritik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) kerana dianggap memburukkan lagi keadaan di Gaza.

Di Turkiye, sokongan terhadap Palestin semakin jelas apabila ribuan rakyat turun ke jalan raya di Istanbul pada awal tahun ini.

Lebih 400 organisasi masyarakat sivil menyertai himpunan besar-besaran, melaungkan slogan “Kami tidak akan berdiam diri, kami tidak akan melupakan Palestin.”

Malaysia melalui Wisma Putra turut mengecam keras tindakan Israel yang menghalang operasi bantuan kemanusiaan, menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

PBB dan EU pula memberi amaran bahawa sekatan terhadap NGO akan memperburuk keadaan yang sudah kritikal di Gaza.

Anda Mungkin Berminat