PETALING JAYA: Pelancaran model kenderaan elektrik (EV) pertama oleh Perodua disifatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu langkah tepat dan berwawasan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kemajuan ekonomi berteraskan nilai kemanusiaan dan kelestarian alam.
Dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau pada Selasa, Anwar berkata, inisiatif Perodua bukan sahaja memperkukuh industri automotif nasional, malah mencerminkan komitmen syarikat terhadap teknologi hijau, penciptaan peluang pekerjaan tempatan dan penawaran produk berimpak sosial tinggi.
“Usaha ini memperlihatkan bahawa kemajuan ekonomi dan nilai kemanusiaan boleh bergerak seiring bahawa inovasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar bukan pilihan yang berbeza tetapi dua sisi dalam satu aspirasi negara Madani yang menjuarai ekonomi hijau dan berdaya saing,” katanya.
Perdana Menteri turut berkongsi pengalamannya meninjau operasi Perodua di Sungai Choh, Rawang, Selangor, di mana lokasi yang menjadi nadi kepada gelaran ‘King of the Road’ serta bertemu tenaga kerja yang menjadi tulang belakang kejayaan syarikat tersebut.
“Dalam sesi taklimat, saya turut diberi penerangan mengenai prestasi semasa serta perancangan pelancaran model kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua yang bakal diluncurkan tidak lama lagi,” kata beliau.
Dalam lawatan itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Perodua atas dedikasi mereka yang disifatkan sebagai kebanggaan negara.
“Saya yakin Perodua akan terus menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh ekosistem automotif negara dan memacu Malaysia ke arah masa depan mobiliti yang lebih lestari, berdaya cipta dan berjiwa rakyat.
“Semoga Perodua terus berkembang maju dan kekal menjadi jenama kenderaan pilihan utama rakyat Malaysia,” ujarnya.








