Semai semangat perpaduan dalam kepimpinan perkhidmatan awam – PM

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin melihat kesemua pimpinan di kementerian termasuk Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Pengarah untuk bersatu dan menjadi teladan yang terbaik dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Pesanan Anwar tersebut dikongsikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang menginginkan semangat tersebut diterapkan dalam diri setiap pemegang tampuk kepimpinan perkhidmatan awam.

Anwar menekankan bahawa kerjasama erat antara pemimpin tertinggi kerajaan adalah kunci untuk melaksanakan reformasi atau islah bagi memperbaiki proses kerja serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut Shamsul, salah satu perkara yang ditekankan ialah perlunya pemimpin atasan turun padang bagi memantau projek kerajaan dan mengingatkan agar setiap projek kerajaan dilaksanakan dengan penuh teliti.

“Perdana Menteri menegaskan kepentingan ‘follow up’ (susulan) dan ‘follow through’ agar setiap sen yang dibelanjakan memberi nilai pulangan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Anwar turut memberi penekanan kepada persiapan negara sebagai Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 2025.

Beliau meminta semua agensi kerajaan untuk meningkatkan tahap kecekapan dan perkhidmatan untuk memperkukuh lagi komitmen perkhidmatan awam dalam mendepani cabaran besar di peringkat antarabangsa.

Bagi memastikan perbelanjaan kerajaan berjalan secara berhemah, Anwar telah mengeluarkan surat arahan pada 20 September lalu bagi memantau perjalanan ke luar negara.

Di mana semua agensi perlu mematuhi Garis Panduan Kawalan Perbelanjaan Awam, PB 3.1 yang telah dikemaskini untuk mengelakkan pembaziran.

Shamsul turut menyatakan komitmen bahawa semua jabatan dan agensi kerajaan akan terus gigih dalam melaksanakan dasar kerajaan berpandukan prinsip Malaysia Madani.

Anda Mungkin Berminat