Perubahan iklim tingkat risiko penyakit alergi -Pakar

KUALA LUMPUR: Perubahan iklim yang semakin ketara ketika ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah turut menjejaskan sistem imun manusia sehingga meningkatkan risiko penyakit alergi seperti asma, resdung alergi, ekzema dan alahan makanan.

Pensyarah Perubatan dan Saintis Klinikal dalam bidang Alergi dan Imunologi di Universiti Sains Malaysia, Dr. Siti Mardhiana Mohamad berkata, peningkatan suhu dunia, pencemaran udara dan perubahan cuaca menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah tersebut.

Menurut beliau, perubahan iklim menyebabkan musim berbunga tumbuhan menjadi lebih panjang sekali gus meningkatkan jumlah debunga di udara yang boleh mencetuskan tindak balas alergi terutama dalam kalangan individu sensitif.

“Debunga berlebihan mudah dihidu dan boleh menyebabkan gejala alergi menjadi lebih teruk.

“Pada masa sama, pencemaran udara akibat asap kenderaan, pembakaran terbuka dan aktiviti industri turut memberi tekanan kepada sistem imun badan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, partikel halus dan gas pencemar yang disedut ke dalam saluran pernafasan boleh menyebabkan keradangan kronik dan menjadikan sistem imun lebih sensitif terhadap bahan yang sebenarnya tidak berbahaya seperti habuk, debunga dan bulu haiwan.

Tambah beliau, cuaca panas dan lembap akibat perubahan iklim turut mewujudkan persekitaran sesuai untuk pertumbuhan kulat serta pembiakan hama habuk rumah yang menjadi pencetus utama penyakit alergi dan asma.

Katanya, ramai pesakit kini melaporkan gejala alergi lebih teruk ketika musim hujan tidak menentu atau sewaktu cuaca terlalu panas.

Menurut Dr. Siti Mardhiana, golongan kanak-kanak dan warga emas merupakan kumpulan paling berisiko kerana sistem imun mereka lebih mudah terjejas.

“Kanak-kanak masih mempunyai sistem imun yang sedang berkembang manakala warga emas pula mengalami penurunan fungsi imun secara semula jadi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kajian saintifik mendapati perubahan iklim boleh mengganggu keseimbangan mikrobiota atau bakteria baik dalam tubuh manusia sehingga meningkatkan kecenderungan terhadap penyakit alergi dan keradangan kronik.

Selain itu, cuaca panas melampau juga boleh meningkatkan hormon stres dalam badan yang akhirnya mengganggu kestabilan sistem imun.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya lebih peka terhadap kesan perubahan iklim terhadap kesihatan dengan mengambil langkah pencegahan termasuk mengurangkan pencemaran udara, mengelakkan pembakaran terbuka dan menggunakan pengangkutan mesra alam.

Individu yang mempunyai penyakit alergi juga disaran memantau indeks pencemaran udara semasa, mengurangkan aktiviti luar ketika kualiti udara tidak sihat serta mendapatkan rawatan awal sekiranya gejala semakin teruk.

“Perubahan iklim bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi ancaman besar kepada kesihatan manusia. Jika tiada tindakan segera diambil, penyakit alergi dijangka terus meningkat dan memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat