Peruntukan Jualan Rahmah MADANI Dinaikkan kepada RM600 Juta, Dua Kali Ganda Tahun Lalu

PUTRAJAYA: Dalam usaha berterusan menangani kos sara hidup rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa peruntukan bagi Program Jualan Rahmah MADANI 2025 dinaikkan kepada RM600 juta, iaitu dua kali ganda berbanding RM300 juta tahun sebelumnya.

Pengumuman itu dibuat dalam ucapan khas beliau bertajuk Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, sebagai salah satu langkah segera kerajaan bagi membantu rakyat berdepan harga barangan keperluan yang masih tinggi meskipun kadar inflasi keseluruhan negara kekal rendah.

“Peruntukan tambahan ini akan digunakan untuk menambah kekerapan program, memperluaskan lokasi jualan ke seluruh negara dan menambah jenis barangan ditawarkan, demi memberi lebih banyak pilihan serta manfaat langsung kepada rakyat,” kata Anwar.

Jualan Rahmah MADANI kini akan dilaksanakan di semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dijangka meringankan beban perbelanjaan harian terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Program ini sebelum ini mendapat sambutan luar biasa rakyat kerana menawarkan barangan asas seperti beras, minyak masak, ayam, telur dan sayur-sayuran pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran biasa.

Langkah menambah peruntukan ini adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai turut menghasilkan limpahan manfaat secara langsung kepada seluruh rakyat, bukan sekadar angka makroekonomi.

Anwar turut menyatakan bahawa penekanan utama kerajaan kini adalah untuk memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai di akar umbi, dan program seperti Jualan Rahmah menjadi antara instrumen penting dalam mencapai tujuan tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat