Dianggarkan sekitar seratus peserta berhimpun menyertai himpunan Reformasi 100 Peratus anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang berarak ke bangunan Parlimen pada Selasa.
Peserta yang mengenakan baju kemeja-T berwarna hitam dan kuning berkumpul di Plaza Tugu Negara sekitar 7.30 pagi dan mula berarak menuju ke bangunan Parlimen kira-kira pukul 8.30 pagi.
Para peserta masing-masing memegang papan tanda kuning dengan frasa ‘Jangan selesa’ dan ‘Bersih dan adil’ sambil melaungkan ‘Tuntut Reformasi’, ‘Tolak DNAA, Rakyat Bangkit’ dan Malu Apa Madani.’
Peserta himpunan bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke Parlimen, sebaliknya mereka hanya dibenarkan berada di tepi jalan.
Sementara itu, ahli Parlimen Selayang, William Leong menjadi wakil rakyat pertama menerima memorandum Bersih dan diikuti Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim pada pukul 9.15 pagi.
Menurut Hassan, dia akan meneruskan tuntutan reformasi di Parlimen seperti yang dituntut rakyat.
“Saya tidak ada apa kepentingan, bila mati (meninggal dunia), saya akan tenang kerana reformasi ini akan diteruskan oleh orang lain, kita kena berani menyatakan yang benar dan membawa perubahan (walaupun) tidak mudah,” katanya.
Muhammad Faisal pula dalam ucapannya berkata rakyat mengharapkan perubahan dapat dilakukan demi kebaikan semua.
“Kita tidak boleh gelar diri sebagai pejuang kalau kita tidak ada keberanian untuk bertindak. Harap ada perubahan ke arah kebaikan. Tolak DNAA,” katanya.
Terdahulu, Bersih menyerahkan notis makluman kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, untuk mengadakan perarakan ke parlimen, bagaimanapun, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang melanggar undang-undang.
Difahamkan lebih 300 anggota polis ditempatkan di seluruh kawasan terbabit untuk memantau keadaan. Jumlah watawan dan jurugambar pula dianggarkan sekitar 50 orang, peserta kemudiannya mula bersurai pada pukul 10 pagi tadi.
Baca juga: