Peserta IPR OKU rasa dihargai PM sebut nama dalam Belanjawan 2025

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Normaladiana Mohd Yazal, tidak menyangka namanya disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai contoh peserta yang berjaya dalam Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu.

Normaladiana, 37 yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, mengakui terkejut dengan pengumuman itu, meluahkan rasa bangga, terharu dan juga sedih ketika mendengarnya sendiri apabila menonton pembentangan tersebut.

“Memang tidak jangka nama disebut, bila dengar itu memang terkejut. Terharu PM sebut nama.

“Ketika itu saya sedang mendengar pembentangan dan ada juga (orang lain) yang khabarkan.

“Saya sedih sebab saya ini OKU, tiba-tiba PM sebut nama mengenai IPR.. itu yang saya rasa dihargai,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Ahad.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 lalu, Anwar mengumumkan peruntukan RM250 juta untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program IPR bagi menambah pendapatan mereka.

Sebelum itu, Anwar telah memberi contoh Normaladiana membantu suaminya berniaga dan berjaya meraih pendapatan untuk keluarga hampir dua kali ganda menerusi program IPR.

Ibu kepada dua anak ini juga berkongsi bahawa dia telah menyertai IPR ini sejak setahun lima bulan bagi membantu menambah pendapatan suami yang juga OKU.

Dia telah membuat permohonan secara atas talian ketika program ini diperkenalkan Kementerian Ekonomi pada awal tahun 2023.

Dalam program ini, dia menyediakan makanan ringan seperti sandwich, spaghetti, kek dan roti sosej pada mesin layan diri yang ditempatkan di asrama di Universiti Malaya (UM).

Penyertaan dalam program IPR ini membantunya meraih pendapatan sampingan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

“Sebelum IPR ini, saya cuma harap gaji suami dengan ambil pesanan yang tidak banyak.

“Bila sertai IPR, saya punya pendapatan meningkat 50 peratus dan dapat bantu suami tambah pendapatan,” katanya.

Normaladiana bersyukur menjadi peserta program IPR dan mengakui inisiatif yang disediakan kerajaan ini mengubah kehidupannya.

Anda Mungkin Berminat