PETALING JAYA: Peserta KL Rain Rave Musical Festival 2026 yang dikesan membuang sampah merata-rata di sekitar Bukit Bintang bakal berdepan tindakan tegas termasuk kompaun RM2,000 serta khidmat masyarakat selama 12 jam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, berkuasa mempunyai rekod individu terlibat dan tidak akan berkompromi terhadap sikap tidak bertanggungjawab sepanjang penganjuran acara selama tiga hari itu.
“Maaf, kami mempunyai rekod anda dan tindakan akan diambil,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau turut menyindir perbuatan tersebut dengan kenyataan pedas.
“‘Tahniah’, kompaun RM2,000 serta 12 jam khidmat masyarakat sedang menanti anda,” katanya.
Dalam masa sama, Nga merakamkan penghargaan kepada petugas Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang bertungkus-lumus membersihkan kawasan sekitar sebaik sahaja acara berakhir.
“Wira-wira yang tidak didendang ini wajar dipuji. Kami tabik dan menghargai anda kerana membantu memastikan bandar kita kekal bersih,” katanya lagi.
Festival Rain Rave Water Music Festival itu dianjurkan bersama oleh Tourism Malaysia dan The Fame sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Bagaimanapun, penganjuran festival berkenaan turut menerima bantahan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang menegaskan ia berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.








