RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) mempertingkat kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand susulan insiden tembakan di Sungai Golok, Narathiwat, yang meragut nyawa seorang rakyat Malaysia.
Briged Tenggara PGA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa langkah keselamatan telah diperkukuh melalui pemeriksaan rapi, rondaan berterusan serta kawalan ketat di pintu masuk tidak formal bagi mengelakkan sebarang ancaman rentas sempadan.
“Tidak kira apa jua kejadian yang berlaku di sebelah Thailand, kita di Malaysia sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
PGA berkata, insiden tembakan di negara jiran tidak boleh dipandang remeh, namun pihaknya tidak akan bertindak melulu hanya berdasarkan satu kejadian.
Sebalik katanya, pendekatan berwaspada akan diteruskan secara konsisten.
“Semua pegawai dan anggota yang bertugas di sepanjang sempadan diingatkan untuk terus berada dalam keadaan siap siaga,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan tambahan, PGA turut meningkatkan jumlah rondaan dan memperketat sekatan jalan raya di kawasan sempadan demi memastikan keselamatan awam terus terpelihara.








