Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) mengusulkan cadangan agar Prasarana menambah pintu skrin rel di setiap platform monorel dan MRT bagi mengelakkan berlakunya kemalangan melibatkan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).
Presiden SBM, Mohd Mustaza Mohd Zain, berkata ia wajar dan hendaklah menjadi antara ciri inheren pada reka bentuk bagi setiap stesen perkhidmatan rel di seluruh Malaysia.
“Sehingga kini, sekurang-kurangnya 20 kemalangan melibatkan OKU penglihatan yang jatuh ke landasan rel, sama ada di stesen Monorail, LRT mahupun KTMB.
“Sabtu lalu, kita turut digemparkan dengan berita kematian seorang OKU penglihatan di Stesen LRT Titiwangsa.
“Oleh itu, jumlah pintu skrin platform itu wajar dilaksanakan dan hendaklah sejajar dengan jumlah pintu koc penumpang untuk melindungi keselamatan para pengguna kurang upaya penglihatan.
“Langkah mitigasi risiko keselamatan di stesen-stesen perkhidmatan rel juga tidak boleh bergantung kepada elemen teknologi semata-mata,” tegasnya dalam kenyataan media pada Isnin.
Tambah Mustaza lagi, antara punca yang mengundang kepada kemalangan komuniti OKU adalah daripada kurangnya para petugas di setiap lokasi stesen rel.
Beliau berkata sedemikian kerana pihak prasarana dan KTMB wajibnya memastikan para petugas cukup untuk mengawal, memantau dan membantu para pengguna, terutama pengguna kurang upaya penglihatan.
Dalam pada itu, pihak SBM juga turut menyarankan Kementerian Pengangkutan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi melatih para petugas perkhidmatan rel supaya mereka lebih cakna dan proaktif dalam berkomunikasi serta membantu para pengguna kurang upaya.
Pada Sabtu lalu (21 Februari), seorang lelaki OKU penglihatan dilaporkan maut akibat digilis tren Transit Aliran Ringan (LRT) selepas terjatuh di kawasan landasan LRT Titiwangsa.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (JBPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.
Sementara itu, Rapid Rail berkata perkhidmatan tren di Stesen LRT PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur digantung sementara susulan kejadian itu.
Baca juga: