SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor akan menganjurkan Program Jualan Rahmah Madani – Jualan Mega Aidiladha 2026 pada 23 dan 24 Mei ini bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Program selama dua hari itu bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian serta persiapan Aidiladha pada harga lebih rendah dan berpatutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi, berkata program itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PKPS untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“Melalui penganjuran Jualan Rahmah Madani – Jualan Mega Aidiladha 2026, PKPS komited memastikan rakyat dapat memperoleh barangan keperluan asas dan persiapan Aidiladha pada harga lebih berpatutan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, inisiatif itu diharap dapat memberi manfaat kepada orang ramai dalam membuat persiapan Aidiladha dengan lebih mudah dan menjimatkan kos perbelanjaan.
“PKPS berharap program ini dapat membantu rakyat membuat persiapan Hari Raya Aidiladha dengan lebih selesa, selain mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah,” katanya.
Antara tarikan utama program berkenaan ialah ayam seekor pada harga RM10, beras 5 kilogram (kg) RM12, daging 900 gram (RM10), ikan 900 gram (RM6.50) dan telur gred B sepapan pada harga RM7.
Turut ditawarkan ialah minyak masak 2kg (RM10), lampin bayi pakai buang (RM7), tepung (RM2), bihun (RM2.50), sardin (RM5.50), biskut (RM3) dan sabun pencuci pakaian (RM14).
Jualan akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 2 petang di lapan lokasi terpilih di seluruh Selangor.
Pada 23 Mei, lokasi terlibat ialah Dataran Bougainvilla, Kampung Sungai Kertas; Perkarangan Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam; Dataran Pantai Batu Laut dan Pejabat Parlimen Sabak Bernam di Bagan Nakhoda Omar.
Pada 24 Mei pula, program akan diadakan di Balai Penghulu Telok Panglima Garang; Perkarangan Flat Taman Kem, Pelabuhan Klang; Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang dan tapak parkir Econsave Sungai Buloh.
Orang ramai yang ingin mendapatkan barangan promosi diminta membawa kad pengenalan untuk tujuan pendaftaran dan pengesahan, manakala semua barangan adalah tertakluk kepada stok semasa di setiap lokasi.
Selain jualan di lokasi terpilih, PKPS turut mengadakan Promo Raya Haji Ehsan Mart dari 15 hingga 31 Mei ini di tiga cawangan Ehsan Mart, iaitu Sungai Tua, Pandan Utama dan Taman Melawati.
Baca juga:








