PKPS perkukuh Selangor Fruit Valley hab agro pelancongan taraf antarabangsa

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus memperkukuh Projek Selangor Fruit Valley (SFV) sebagai destinasi agropelancongan bertaraf antarabangsa yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi agro negeri serta pertumbuhan sektor pelancongan domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata sejak tahun 2021 hingga 2025, Selangor Fruit Valley berjaya merekodkan seramai 500,000 pengunjung, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan dan permintaan terhadap produk pelancongan berasaskan agro, pendidikan dan rekreasi keluarga.

“Selain pengunjung tempatan, SFV turut menerima ramai pelancong antarabangsa, terutamanya dari United Kingdom, Australia, Rusia, Afrika, China, India, Jepun dan Korea.

“Sebagai destinasi agropelancongan popular di Selangor, SFV mencatatkan pendapatan sebanyak RM7 juta pada tahun 2025 meliputi jualan buah-buahan dan sayur-sayuran, aktiviti agropelancongan, jualan produk ACE serta sewaan tanah kepada usahawan tani.

“Bagi tahun 2025, SFV menerima kira-kira 100,000 pengunjung dan menyasarkan peningkatan kepada 150,000 pengunjung pada tahun 2026 sejajar dengan strategi pengembangan sektor agropelancongan negeri,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Ujarnya lagi, SFV turut menampilkan konsep pelancongan berasaskan pendidikan agro dengan menawarkan pengalaman interaktif berkaitan pertanian, tanaman dan ekosistem makanan kepada pengunjung pelbagai lapisan usia.

“Antara tarikan utama di SFV termasuk Eco Bridge, Animal Garden, Taman Arnab, Taman Rusa, Laman Itik, Rumah Kampung, Laman Ikan serta pelbagai aktiviti sukan air.

“Pengunjung turut berpeluang menikmati pengalaman menaiki tram, memberi makan haiwan, menghasilkan telur masin, memandu ATV, memetik buah-buahan dan sayur-sayuran serta menyertai aktiviti penanaman pokok.

“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi PKPS untuk memperkukuh ekonomi agro melalui pendekatan bersepadu yang menggabungkan sektor pelancongan, pendidikan dan pembangunan komuniti,” ujarnya.

Pada Januari 2026, PKPS telah melancarkan Pelan Transformasi Agribisnis 2026–2030 (SEED 2030) bagi memperkukuh sekuriti makanan negeri serta menjamin akses makanan rakyat dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan global.

Pelan SEED 2030 digerakkan menerusi lima teras strategik yang disokong oleh anak-anak syarikat PKPS termasuk SFV, dengan fokus terhadap pengukuhan rantaian bekalan makanan, inovasi agro, pembangunan bakat serta pengembangan ekonomi agro bernilai tinggi.

SFV bukan sahaja berkembang sebagai destinasi pelancongan, malah berperanan sebagai platform pendidikan agro dan pemangkin pembangunan industri makanan negeri. PKPS komited untuk terus memperkasa SFV sebagai model agropelancongan moden yang berdaya saing serta mampu memberi impak ekonomi mampan kepada Selangor.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat