Sultan Selangor Kekal Larangan Penternakan Babi

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan pendirian Baginda untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di Negeri Selangor Darul Ehsan, sama ada berskala besar mahupun kecil.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor Royal Office pada Khamis, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira implikasi terhadap alam sekitar, sumber air serta kesejahteraan rakyat.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor Darul Ehsan,” tegas kenyataan tersebut.

Baginda menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti penternakan babi boleh mencemarkan tanah, udara dan sumber air melalui pelepasan sisa serta najis ternakan.

“Baginda turut bimbang aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai utama yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

Selain faktor pencemaran, Baginda bertitah, penternakan babi tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin bertitah agar isu tersebut dihentikan sepenuhnya demi mengelakkan keresahan masyarakat dan memastikan keharmonian rakyat terus terpelihara.

“Isu ini perlu dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop),” titah Baginda.

Anda Mungkin Berminat