ALOR SETAR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah menekankan usaha memperkukuh gerak kerja strategik parti dengan menonjolkan kejayaan dan inisiatif Kerajaan MADANI yang memberi manfaat langsung kepada rakyat negeri itu.
Mesyuarat Bilangan 1/2026 pada Khamis membincangkan penstrukturan semula organisasi melalui gabungan kepimpinan berpengalaman dan baharu, selain memperkukuh sokongan akar umbi di seluruh negeri.
Pengarah Komunikasi MPN PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, fokus utama adalah memenangi kembali kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), pemantapan agenda kebajikan rakyat serta pendekatan politik matang dan berpaksikan kepentingan awam.
Menurutnya, gerak kerja strategik itu penting untuk memastikan rakyat memahami sumbangan kerajaan termasuk dalam sektor ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan kesejahteraan sosial.
“Tumpuan kami adalah memastikan gerak kerja strategik parti dapat memenangkan kembali kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di Kedah, selain memantapkan agenda kebajikan rakyat.
“PKR Kedah komited untuk terus memainkan peranan sebagai pembangkang bertanggungjawab melalui semak dan imbang yang konstruktif serta berfakta” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, parti akan bergerak dengan pendekatan tersusun dan berkesan agar kekal relevan sebagai wadah perjuangan rakyat, selaras dengan aspirasi reformasi dan tuntutan masyarakat semasa.








